SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR BUAT SEMUA MAHASISWA DIPLOMA UMT

Monday 14 November 2011

TARBIYYAH LUQMANUL HAKIM


Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Nasihat dan pesanan yang diberikan oleh Luqmanul Hakim lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam disamping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT.

Antara nasihat Lukman kepada anaknya ialah:

1.    Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.

  1. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.

3.    Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.

4.    Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya, iman bagaikan air menyirami tanaman.

5.    Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu.Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.


INTISARI PENGAJARAN LUQMAN

Aqidah adalah perkara yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Kerana ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam. Dewasa ini terdapat banyak penyelewengan terjadi sama ada daripada segi pemikiran, perkataan mahupun tingkah laku. Kesemuanya berpunca daripada tidak memahami aqidah Islam secara mendalam.Firman Allah yang bermaksud:

"Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya: "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."(Surah Luqman: 31).

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa manusia khususnya kita selaku MAHASISWA ISLAM yang mempunyai keintelektualan harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada kesyirikan. Terjadinya syirik ini kerana manusia tidak mengenali Allah. Justeru itu pendidikan tauhid mesti diajar dan dipasak ke dalam jiwa manusia sejak dari kecil lagi malah perlu diulang dan diperingati walaupun sudah bergelar graduan atau sudah bekerja.

SUDUT SOLAT

Firman Allah bermaksud:

"Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." (Surah Luqman: 17).

Islam memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat yang tidak pernah diberikan kepada ibadat lain. Kerana ia adalah tiang agama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Pokok pangkal sesuatu adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad fi sabillillah." Solat perlulah dilakukan dengan penuh perhatian dan tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah, kerana dengan solat dapat menahan diri dari perkara fasya’ dan mungkar.

KESAN DARIPADA PENDIDIKAN SOLAT

Solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi jiwa seseorang. Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan dan melatih badan agar sentiasa segar dan cergas. Dari segi akhlak, ia mencegah perbuatan mungkar dan menjaga waktu manakala
dan dari segi kemasyarakatan solat mendidik persamaan dan persaudaraan.
Solat melatih manusia dari pelbagai sudut malah insan yang HEBAT ialah mereka yang menjaga solatnya.

SUDUT AKHLAK

Berbakti kepada kedua ibu bapa.Firman Allah yang bermaksud:

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. "Bersyukurlah kepada ku dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku jua tempatmu kembali." (Surah Luqman: 41)

Kedua ibu bapa mempunyai kedudukan yang paling istimewa. Mereka menduduki tempat yang kedua sesudah beriman kepada Allah dan Rasulullah. Berbakti kepada ibu bapa adalah wajib ke atas setiap anak dalam apa jua keadaan sekalipun ia merupakan asas terpenting dalampendidikan Islam. Berada diperantauan menuntut ilmu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak menghubungi ibu bapa di kampung halaman. Sedangkan redha Allah itu terletak pada redha ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.

SUDUT DAKWAH

Sesungguhnya setiap muslim dituntut supaya melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Firman Allah bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung," (Surah Ali Imran: 104).

KESIMPULAN

Pendidikan yang diberikan oleh Luqman adalah pendidikan yang menyeluruh dan lengkap meliputi asas-asas aqidah, ibadat, akhlak dan dakwah. Sebab itu Allah telah merakamkan pendidikan Luqman itu untuk dijadikan contoh kepada umat Islam khususnya.

Menjadi MAHASISWA yang cemerlang bukan sahaja terletak pada kecemerlangan akademik malah turut terletak pada kecemerlangan rohani dan sahsiah diri. Gunakan segala ruang kesempatan waktu dan masa yang diberikan untuk kita garap sebanyak mungkin ilmu dan beramal dengan segala yang kita perolehi. Moga dengan ilmu yang telah Allah ‘campakkan’ ke dalam diri memandu menuju redha Ilahi.

“Ayuh bangkit Mahasiswa sekalian, Bebaskan diri dari kejahilan, Sinari diri dengan ilmu pengetahuan, Dengan akidah Islam jadi panduan, Menjadi modal kelak dihadapan Tuhan”

ISLAM ITU NASIHAT
Omarmoktar Bin Mustafa
Presiden Kelab Amatur Intelektual
Sesi 2011/2012




KAI UMT-NURTURING YOUR VISION

1 comment:

Hafzan Muslim said...

Tarbiyyah Luqmanul Hakim, memdidik anaknya tanpa henti. Begitulah kita, didikan pada hati dan iman tanpa henti.