SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR BUAT SEMUA MAHASISWA DIPLOMA UMT

Thursday, 3 November 2011

Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing.

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, syukur ke atas limpahan kurnia-Nya, seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu, Muhammad Fitri Bin Abdul Ghapar yang kehilangan komputer ribanya setelah rumahnya dimasuki pencuri pada sebulan yang lepas, telah mendapat laptop yang baru.

Kelab Amatur Intelektual melalui Exco Pendidikan dan Kebajikannya, Mohd Hafizi Bin Mohd Yusof telah berkunjung ke rumah Fitri di Taman Tanjung Permata bagi menyampaikan komputer riba yang baru kepada Fitri.

Hafizi (kanan) menyampaikan komputer riba kepada Fitri (kiri) sambil  diperhatikan
Exco Sukan dan Kebudayaan KAI, Firdaus.

Pemberian ini adalah hasil sumbangan daripada beberapa pihak termasuk Kelab Amatur Intelektual (KAI) dan Maritime Expert Generation atau Max-G (kelab akademik Teknologi Maritim).

"Ketika kejadian, kami sedang sibuk belajar di dalam bilik masing-masing. Pada ketika itulah, pencuri tersebut mengambil kesempatan terhadap rumah kami yang terbuka luas untuk masuk. Kami hanya menyedari bahawa rumah dimasuki pencuri tersebut apabila mendengar bunyi akibat daripada pencuri itu terlanggar pintu ketika hendak melarikan diri. Kami tidak sempat untuk mengejar pencuri yang masih mengenakan topi keledar sebelum terus lari menaiki motosikal", cerita rakan serumah Fitri.

Fitri juga mengingatkan pelajar-pelajar yang duduk di luar (rumah sewa) agar menutup pintu pagar tidak kira di waktu pagi atau malam dan sentiasa berhati-hati.

"Saya sangat bersyukur kepada Allah S.W.T kerana masih lagi diberi peluang untuk merasai kegembiraan dan kebahagiaan ini. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada sahabat-sahabat, rakan-rakan, kenalan, dan semua yang sudi membantu dengan sumbangan ikhlas anda semua. Moga kalian semua dimurahkan rezeki dan sentiasa diberkati Allah S.W.T. ...saya berjanji saya akan memanfaatkan pemberian ini dengan sebaiknya..terima kasih semua.." kata Fitri yang diberi peluang untuk membuat sedikit ucapan.

"Kami akan cuba sedaya upaya untuk meringankan masalah yang dihadapi ahli kami dalam mengharungi kehidupan  sebagai mahasiswa", kata Hafizi yang bukan sahaja Exco Pendidikan dan Kebajikan KAI tetapi juga merupakan Exco Sukan Max-G.
KAI UMT-NURTURING YOUR VISION

1 comment:

SuFi Haraki said...

satu usaha yg luar biasa hebatnya dr KAI...terbaik!