SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR BUAT SEMUA MAHASISWA DIPLOMA UMT

Wednesday 8 August 2012

ANUGERAH KHAS DI AKADEMI RAMADHAN: LAILATUL QADR

Assalammualaikum…



Alhamdulillah..pejam celik pejam celik, akhirnya kita sudah pun menghampiri semester terakhir iaitu  10 hari terakhir pengajian di Akademi Ramadhan di mana semester ini dikenali sebagai fasa pembebasan dari api neraka. Bagi pelajar yang terpilih dan bernasib baik, akademi ini menyediakan anugerah istimewa sebelum menamatkan pengajian iaitu anugerah Lailatul-Qadr (Malam seribu bulan). Anugerah ini adalah anugerah yang terulung dan siapa yang terpilih dijanjikan ganjaran yang istimewa oleh pihak pentadbir.

Malam al-Qadr adalah malam yang paling utama sepanjang tahun berdasarkan firman Allah s.w.t, ertinya :

“ Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada Lailatul-Qadr. Tahukah kamu    apakah Lailatul-Qadr? Lailatul-Qadr lebih baik dari seribu bulan.”
 (Surah Al-Qadr : 1-3)
Rasulullah juga memberi jaminannya :

“Sesiapa yang menghidupkan lailah al-qadar iaitu beribadah dengan keimanan dan keikhlasan serta mengharapkan ganjarannya, diampunkan dosanya yang lalu..”
                                                                                    ( Riwayat Bukhori dan Muslim)

Kebiasaannya anugerah ini  diberikan pada sepuluh hari terakhir sebelum tamatnya sesi pengajian. Oleh itu, kita disunatkan untuk mengintai anugerah khas (Lailatul-qadr) itu pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan.

Namun, dinasihatkan kepada semua pelajar supaya jangan hanya menumpukan kepada satu-satu malam sahaja beribadah. Hendaklah berterusan ibadah kepada Allah setiap hari dan diberi penumpuan yang lebih kepada 10 hari terakhir Ramadhan.

TANDA-TANDA BERLAKUNYA MALAM ANUGERAH KHAS

Imam Hassan Al-Basri berkata antara tanda-tanda Lailatul-Qadr ialah
  •   Suasaana malamnya tenang, damai, tenteram, tidak panas dan tidak terlalu dingin
  •  Air laut kelihatan jernih, anjing tidak banyak menyalak, dan matahari terbit pada keesokan paginya dengan sinar putih bersih dan cahaya yang redup

Dalam Sahih Muslim dinyatakan bahawa di malam penganugerahan ini, seramai 70 000 malaikat turun dari Sidratul muntaha ke bumi.

Malaikat membawa rahmat Allah memasuki rumah serta memberi salam kepada orang Islam kecuali rumah yang mempunyai anjing, khinzir, arak, dan patung.

Malaikat akan naik ke langit secara serentak dengan sayap puluhan ribu malaikat itu melindungi pancaran panas matahari yang menyebabkan suasana di bumi dingin dan tenang.

Oleh itu, sesiapa yang menyedari tanda-tanda itu, mereka hendaklah meningkatkan amalan dan berdoa sepanjang hari sebagaimana ketekunan ibadahnya di malam hari.

Jadi, semua pelajar dianjurkan berdoa sebagaimana dikhabarkan daripada Aisyah “Ya, Rasulullah, sekiranya aku berada pada lailatul-Qadr, apa yang perlu aku buat?”

Baginda menjawab : “ Katakanlah:

Allahumma innaka afuwun tuhibbu al-afwa fa’fua’nni
(Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani untuk mengampun, maka ampunilah aku.)”
( Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)

Konklusinya, dalam kesibukan belajar ilmu-ilmu duniawi, luangkanlah masa untuk memperbanyakkan amalan dan doa yang membolehkan kita meraih trofi pada malam anugerah khas yang sangat rahsia keputusannya ini. Tambahan itu, kita juga tidak dapat memastikan masihkah kita dapat bertemu dalam akademi Ramadhan tahun depan..Wallahua’lam..Sesungguhnya Akademi Ramadhan adalah hadiah daripada pencipta kepada hamba-hambaNya..

Semoga yang baik dari perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua dan dapat disampaikan kepada orang lain.

Akademi Ramadhan menuju PUNCAK TAKWA…














Siti Ainatul Mardhiah Bt Suriadi
Timbalan Presiden KAI 2012/13.

KAI UMT-NURTURING YOUR VISION

No comments: