SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR BUAT SEMUA MAHASISWA DIPLOMA UMT

Tuesday 28 August 2012

55 tahun kemerdekaan, merdekakah kita?


Assalamualaikum wbt..

Hari ini, kemerdekaan yang negara kita kecapi jauh berbeza suasananya berbanding dengan 55 tahun yang dulu. Jika dulu tanah air tercinta bermandikan darah dan keringat para pejuang yang gigih mempertahankan agama dan bangsa, namun hari ini segalanya bagai terhakis ditelan arus zaman yang semakin rancak bersilat membudayakan semula agenda penjajah.

Bagai menangguk di air yang keruh, kita semakin akur akan kebejatan sosial yang semakin meruncing melanda anak muda Malaysia. Di tengah kepesatan membangunnya sebuah negara bangsa, di situ juga berlakunya peralihan budaya barat yang menginjak injak kebebasan dan kewarasan akal fikir anak muda yang ghairah mencuba budaya dan pemikiran baru tanpa mempedulikan tuntutan agama dan menolak mentah batasan syariat yang telah digariskan.

Merdeka itu maksudnya bukan sekadar bebas dari penjajah, tapi lebih kepada penghayatan nikmat kebebasan yang Tuhan berikan kepada kita untuk dimanfaatkan sepenuhnya. Merdeka yang ertinya bukan untuk mengungkit dan memejam mata daripada membenarkan anasir anasir jahat menular masuk ke dalam pemikiran masyarakat Malaysia tapi lebih kepada bagaimana menghargai kebebasan memilih keamanan dan keharmonian sebuah negara selaras dengan kehendak agama dan kepercayaan rakyat Malaysia secara telus dan adil.

Menelusuri susur galur perjuangan menuntut kemerdekaan sehingga membolehkan kita mengecapi nikmat hari ini yang melimpah ruah, maka bersyukurlah atas segalanya dan jangan kita rakus menghancurkan apa yang telah dibina. Namun tak bermakna kita perlu akur akan setiap telunjuk dan arahan yang akan menyebabkan kita menjadi rakyat yang semakin jauh daripada landasan agama sekaligus mengundang murka Allah swt.

Bersyukurlah, semoga apa yang kita lakukan hari ini ada nilainya di pandangan Allah. Semoga Malaysia akan melangkah dengan lebih maju setaraf negara-negara maju lain seperti yang diharapkan selaras dengan meningkatnya nilai murni dan akhlak mulia yang digariskan setiap agama sekaligus dapat membenam terus masalah kebejatan sosial hari ini. Dan tidak lain, generasi anak muda hari ini yang bakal memegang tampuk pimpinan negara pada masa akan datang.

Jangan lupa ucapkan syukur kepada-Nya kerana apa yang kita nikmati hari ini tidak lain dan tidak bukan hanya dengan izin Allah untuk kita sentiasa mengingati Dia.



Merdekakan dirimu dengan Islam!

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-55!

Ikhlas dari Kelab Amatur Intelektual UMT.


KAI UMT-NURTURING YOUR VISION

No comments: