SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR BUAT SEMUA MAHASISWA DIPLOMA UMT

Wednesday 12 September 2012

4 mahasiswa cekal hadapi dugaan Tuhan; rumah sewa mahasiswa UMT terbakar di Wakaf Tengah.

Assalamualaikum wbt..



Pada 8 September 2012 yang lalu, sedang asyik mahasiswa mahasiswi UMT sibuk menguruskan hal-hal kemasukan untuk persediaan awal semester 1 sesi 2012/2013, satu insiden yang mendukacitakan telah menimpa 4 orang mahasiswa UMT apabila rumah sewa yang belum sempat pun mereka duduki telah terlibat dalam sebuah kebakaran deretan rumah teres di Kg Wakaf Tengah, Kuala Terengganu.

Mahasiswi mahasiswi tersebut adalah Nor Atiqah bt Abdul Karim, Noor Asyikin bt Zamri, Fatin Nor Zafirah bt Anuar dari tahun dua Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, manakala seorang lagi sahabat mereka ialah Nor Farahin bt Musanip, tahun dua Sarjana Muda Sains Biologi.

Ketika kejadian, Fatin Nor Zafirah dan Nor Farahin sedang mengemas barangan mereka kerana baru sahaja tiba ke rumah sewa tersebut pada pagi hari kejadian. Manakala Nor Atiqah berada di kawasan bandar dan Noor Asyikin masih belum pulang ke rumah sewa ketika kebakaran berlaku.

Fatin Nor Zafirah berkata, keluarganya dan keluarga Nor Farahin sedang berehat di ruang tamu melepaskan penat setelah selamat sampai dan memunggah barang untuk dimasukkan ke rumah sewa tersebut pada paginya, terdengar jeritan jiran yang kelam kabut lari melihat jilatan api yang semakin marak ke arah rumah mereka.

Keadaan rumah sewa yang terbakar: 
 



Kejadian yang berlaku pada waktu tengahari tersebut, dikatakan oleh pihak bomba berpunca daripada kecuaian jiran yang menjerang air di dapur dan terlupa menutupnya sebelum pergi ke tempat kerja. Walaupun tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa yang berlaku juga rumah sewa mereka tidak hangus terbakar keseluruhannya, namun terdapat banyak barangan keperluan mereka seperti tilam, bantal, baju dan terutama sekali buku-buku pelajaran yang akan digunakan untuk rujukan semester baru rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Kami sempat melawat tempat kejadian, melihat sendiri keadaan rumah sewa mereka yang hampir musnah dijilat api. Buat masa ini, mereka ditempatkan di Asrama Kolej Kediaman Abdul Rahman Limbong UMT untuk satu semester. Kami juga dimaklumkan mereka sedang mencari rumah sewa lain sebagai "backup plan".





Timbalan Presiden KAI merangkap Pengerusi ISIS KAI UMT, saudari Siti Ainatul Mardhiah bt Suriadi yang turut melawat tempat kejadian mengucapkan takziah atas musibah yang menimpa mereka empat sahabat. Turut bersama ialah saudari Naqiyyu Bazz bt Ramli, Exco Kebajikan&Akademik KAI UMT. Harapan beliau supaya mereka terus tabah menghadapi ujian Allah dan semoga ada hikmah yang menanti mereka pada masa akan datang juga berharap ramai mahasiswa yang sudi menghulurkan bantuan dan ringankan beban mereka di permulaan semester ini.


  

Kelab Amatur Intelektual UMT mengucapkan takziah kepada mereka dan semoga terus tabah dengan ujian yang menimpa dan tidak patah semangat untuk berjaya malah semakin berazam untuk meneruskan pengajian mereka di UMT.

Firman Allah SWT:
" Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.. " (Surah Al Baqarah:286)


KAI UMT-NURTURING YOUR VISION

No comments: