Alhamdulillah, bersyukur kita ke
hadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan umur dan berpeluang bertemu dengan tahun
baru hijrah 1434 h ini yang pastinya memberi satu keazaman dan tekad yang baru
dalam memastikan tahun yang baru dilalui ini bakal menjadi tahun yang lebih
baik daripada tahun yang lalu.
Sambutan maal hijrah ini membawa
kita untuk menyingkap kembali peristiwa hijrah Rasulullah bersama para sahabat
dalam kesungguhan mereka menyebarkan dakwah Islam dengan segala pengorbanan
yang mereka lakukan semata-mata mengharapkan redha Allah serta kerana yakin
akan pembalasan akhirat yang tiada tara nilainya berbanding dunia dan seisinya.
Suka untuk saya berkongsi di sini
akan sepotong hadis yang biasa kita dengar daripada kitab Hadis 40 karangan
Imam An Nawawi, hadis yang pertama di mana hadis ini diriwayatkan pada
peristiwa hijrah Nabi dan para sahabat dari Makkah ke Madinah :
Daripada Amirul Mukminin Abu
Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan
bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang
hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan
RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari
habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka
hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
Oleh itu, sama-sama kita sentiasa
perbaharui niat kita dalam segala pekerjaan kita seharian agar segala peluh
yang mengalir akan menjadi timbangan yang bernilai di sisi Allah. Kita semua
manusia yang pastinya bersifat lupa dan alpa, maka teruslah bermuhasabah dan
nasihat menasihati dalam memastikan kita semua termasuk dalam kalangan hambaNya
yang diredhai. Amin~
No comments:
Post a Comment