SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR BUAT SEMUA MAHASISWA DIPLOMA UMT

Tuesday 9 July 2013

Ahlan Wasahlan Ramadhan Kareem

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa” 
(Al-Baqarah: 183) 


Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. 

Dia yang dirindui sejak setahun lalu kini tiba lagi. Pertamanya rafakkanlah rasa syukur pada Allah A’zawajalla atas keizinanNya, kita bertemu Ramadhan sekali lagi. Bayangkan wajah sahabat atau saudara kita yang menyambut ramadhan bersama kita pada tahun lepas telah pergi meninggalkan kita dan adakah dia menyangka, itu adalah ramadhan terakhir buatnya? 

Saya menyeru pada diri saya dan kepada anda yang membaca, lemparkanlah soalan pada diri sendiri, apakah perasaan kita saat ramadhan ini tiba. Adakah kita gembira? Biasa-biasa sahaja? Atau mungkinkah timbulnya perasaan sedih kerana ada antara tabiat kita yang terpaksa berkubur dalam masa sebulan? Wa nauzubillahiminzaalik. Perasaan kita ketika menyambut tetamu Allah ini sudah mampu menggambarkan tahap iman kita. Dijanjikan oleh Allah pada bulan puasa ini pahala yang berlipat kali ganda dari biasa dan Ramadhan ini sebenarnya adalah hadiah istimewa dari Allah kepada hambaNya untuk merebut peluang berusaha dengan bersungguh-sunguh mencapai ijazah taqwa pada 1 syawal nanti. Namun saya percaya masih ada segelintir umat Islam yang tidak selesa dengan kehadiran Ramadhan kerana merasakan bulan mulia ini penjara bagi mereka. Astaghfirullahala’zim.. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan yang ditutup pintu hati mereka ini. 

Imam Al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tingkat: 

Puasa Umum : Puasa kebanyakan umat Islam yang sekadar mampu menghindarkan perut daripada makan, minum dan menahan keinginan berjimak. 

Puasa Istimewa (Puasa Khusus) : Puasa yang dapat memelihara mata, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara-perkara di atas.  

Puasa paling Istimewa (Puasa Khusus Al-Khusus) : Merangkumi puasa umum dan puasa istimewa. Disempurnakan pula dengan puasa hati daripada semua keinginan zahir dan batin. 

Inilah puasa tertinggi kedudukannya di sisi Allah SWT dan merupakan amalan puasa para rasul, nabi, para sahabat, para wali dan golongan ahli ibadah lain. 

Maka ingatlah muslimin dan muslimat yang dimuliakan Allah sekalian, letakkanlah azam kita pada ramadhan kali ini agar puasa kita tidak hanya mendapat lapar dan penat semata-mata. Pasakkanlah di fikiran, di saat kita sibuk membeli pelbagai juadah berbuka mengikut kepuasan jiwa, ada antara saudara kita yang hanya makan ala kadar sahaja, ada saudara kita di Mesir, di Syria, di Palestin dan Gaza yang cabarannya lebih hebat dari rasa lapar semata-mata. Maka beringatlah dan teruslah memberi peringatan agar ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik untuk kita kerana mungkin inilah kali terakhir kita berjumpanya. Dan kelebihan sauda-saudara kita di sana di saat Allah menguji mereka dengan ujian yang maha dahsyat, mereka bakal menghayati dan menghargai Ramadhan lebih daripada kita. Bermula dengan awal Ramadhan yang mulia ini, di hari pertama dalam fasa yang pertama, pasakkanlah dalam diri bahawa kita akan meraih ijazah taqwa yang sebenarnya agar kita bergraduasi pada 1 syawal dengan diri dan hati suci dan bersih dari dosa dan cela seperti baru dilahirkan. Hias dan dekorasilah Ramadhan kita agar menjadi bualan dan pujian penghuni langit sana. 

 ~AHLAN WASAHLAN RAMADHAN KAREEM~ 
 Wallahua’lam

Nurul Sakinah Mohd Sofiuddin
Timbalan Presiden 
Kelab Amatur Intelektual
Universiti Malaysia Terengganu


KAI UMT-NURTURING YOUR VISION

No comments: