SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR BUAT SEMUA MAHASISWA DIPLOMA UMT

Monday 21 October 2013

Konvokesyen UMT: Melakar sejarah mencorak arah


Alhamdulillah, Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana telah selesai sudah Majlis Konvokesyen ke-11 Universiti Malaysia Terengganu. Tahniah diucapkan kepada semua graduan yang berjaya menerima segulung ijazah. Bukan mudah merealisasi impian tersebut. Dalam keadaan bersusah-payah, penat jerih, luka, gembira dan bahagia di sepanjang perjalanan meraih gulungan ijazah tersebut. 


Tahniah kepada mantan pimpinan dan ahli KAI UMT yang telah bergraduasi! Kejayaan anda inspirasi kami.

Insan yang paling bahagia saat ini mestilah ibu dan ayah yang mempunyai latar belakang berbeza dalam menyara anak-anak di menara gading. Namun, adalah lebih membanggakan ibu dan ayah jika anak yang bergraduasi bukan sahaja menyarung jubah graduan tetapi dalam masa yang sama memakai pakaian akhlak yang lebih baik dan lebih cantik dari keadaan sebelumnya. Itulah yang lebih bermakna kepada orang tua untuk merasa penat-lelah mereka tidak sia-sia.

Tahniah diucapkan kepada pihak universiti kerana berjaya menzahirkan majlis keraian kepada graduan. Pesta konvo tiga hari dua malam bukan sahaja meraikan graduan UMT, malah memberi motivasi kepada yang masih menjadi pelajar dalam mengejar gulungan ijazah untuk lebih berusaha merasai pengalaman diraikan sebegitu rupa.

Namun, saya dengan rasa rendah diri dan sebagai muhasabah bersama ingin menzahirkan sedikit kekecewaan kepada penganjuran pesta konvo kali. Perjalan pesta konvo yang meriah dan penuh keraian hasil penat lelah dan usaha para jawatankuasa program diakhiri dengan malam kemuncak yang sangat tidak sesuai dengan suasana sebagai mahasiswa. Saya tidak akan persoalkan jika ia dianjurkan oleh orang luar, diluar universiti. Tapi saya persoalkan kerana ia berlaku di dalam universiti dalam iklim konvokesyen dan suasana mahasiswa.

Ya, anak muda suka kepada hiburan namun hiburan perlu dipilih kerana hiburan berkuasa mencorak minda. Suka untuk saya jelaskan, di dalam Islam sendiri Rasulullah S.A.W tidak pernah melarang untuk ummatnya berhibur kerana fitrah seorang manusia perlu kepada hiburan sebagai warna kepada kehidupan. Rasulullah juga berhibur, namun baginda menetapkan garis panduan kepada pemilihan hiburan. 

Tujuan penganjuran hiburan adalah untuk kebaikan, tidak melampau, tidak bercampur-aduk lelaki dan perempuan sehingga menimbulkan fitnah dan merangsang kemaksiatan, tidak melalaikan, berpakaian sopan dan menutup aurat, tempat dan gaya persembahan yang tidak mengundang maksiat . Ulama’ kontemporari masakini Al-Syeikh Yusuf al-Qardawi menyatakan, antara hiburan yang menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal.273). 

Nyata dan jelaslah  Islam bukan tertutup dan menghalang keinginan manusia tetapi itulah ajaran yang sesuai dengan fitrah manusia. Masing-masing boleh menilai keadaan hiburan pada malam kemuncak tersebut samada ia memberi manfaat atau mudharat kepada mahasiswa dan masayarakat setempat.  Saya sedar, menganjurkan program yang sebesar itu bukanlah satu perkara mudah kerana ia melibatkan tenaga, masa, dan wang yang sangat maksima namun sesebuah penganjuran program perlu kepada penilitian kepada hasil dan manfaat selepasnya.

Semoga Majlis Konvokesyen yang ke-11 Universiti Malaysia Terengganu pada kali ini menjadi muhasabah kepada semua pihak dari pelajar sehingga ke peringkat atasan untuk penambahbaikan bersama pada masa akan datang seiring kehendak kerajaan untuk melahirkan generasi Y yang berminda kelas pertama dan graduan yang berkualiti untuk menjadi generasi pelapis kepimpinan negara. InsyaAllah.


Wallhua’lam


NURUL SAKINAH BT MOHD SOFIUDDIN
Timbalan Presiden/Pengerusi ISIS KAI UMT,
Kelab Amatur Intelektual UMT


KAI UMT-NURTURING YOUR VISION

1 comment:

Anonymous said...

salam. setahu saya berkenaan dengan konsert tersebut adalah sebagai ganjaran kerana UMT telah memenangi 1m4u. sbb tu dinamakan konsert my unirock yang telah dibuat pada masa yang sama dengan majlis konvo.