Alhamdulillah, Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke
hadrat Illahi kerana telah selesai sudah Majlis Konvokesyen ke-11 Universiti
Malaysia Terengganu. Tahniah diucapkan kepada semua graduan yang berjaya
menerima segulung ijazah. Bukan mudah merealisasi impian tersebut. Dalam
keadaan bersusah-payah, penat jerih, luka, gembira dan bahagia di sepanjang
perjalanan meraih gulungan ijazah tersebut.
Tahniah kepada mantan pimpinan dan ahli KAI UMT yang telah bergraduasi! Kejayaan anda inspirasi kami. |
Insan yang paling bahagia saat ini
mestilah ibu dan ayah yang mempunyai latar belakang berbeza dalam menyara
anak-anak di menara gading. Namun, adalah lebih membanggakan ibu dan ayah jika
anak yang bergraduasi bukan sahaja menyarung jubah graduan tetapi dalam masa
yang sama memakai pakaian akhlak yang lebih baik dan lebih cantik dari keadaan
sebelumnya. Itulah yang lebih bermakna kepada orang tua untuk merasa
penat-lelah mereka tidak sia-sia.
Tahniah diucapkan kepada pihak universiti kerana berjaya
menzahirkan majlis keraian kepada graduan. Pesta konvo tiga hari dua malam
bukan sahaja meraikan graduan UMT, malah memberi motivasi kepada yang masih
menjadi pelajar dalam mengejar gulungan ijazah untuk lebih berusaha merasai
pengalaman diraikan sebegitu rupa.
Namun, saya dengan rasa rendah diri dan sebagai
muhasabah bersama ingin menzahirkan sedikit kekecewaan kepada penganjuran pesta
konvo kali. Perjalan pesta konvo yang meriah dan penuh keraian hasil penat
lelah dan usaha para jawatankuasa program diakhiri dengan malam kemuncak yang
sangat tidak sesuai dengan suasana sebagai mahasiswa. Saya tidak akan
persoalkan jika ia dianjurkan oleh orang luar, diluar universiti. Tapi saya
persoalkan kerana ia berlaku di dalam universiti dalam iklim konvokesyen dan
suasana mahasiswa.
Ya, anak muda suka kepada hiburan namun hiburan perlu
dipilih kerana hiburan berkuasa mencorak minda. Suka untuk saya jelaskan, di
dalam Islam sendiri Rasulullah S.A.W tidak pernah melarang untuk ummatnya
berhibur kerana fitrah seorang manusia perlu kepada hiburan sebagai warna
kepada kehidupan. Rasulullah juga berhibur, namun baginda menetapkan garis
panduan kepada pemilihan hiburan.
Tujuan penganjuran hiburan adalah untuk
kebaikan, tidak melampau, tidak bercampur-aduk lelaki dan perempuan sehingga
menimbulkan fitnah dan merangsang kemaksiatan, tidak melalaikan, berpakaian
sopan dan menutup aurat, tempat dan gaya persembahan yang tidak mengundang
maksiat . Ulama’ kontemporari masakini Al-Syeikh Yusuf al-Qardawi menyatakan,
antara hiburan yang menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga
adalah nyanyian. Hiburan nyanyian diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak
dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan
dosa (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal.273).
Nyata dan jelaslah Islam bukan tertutup dan menghalang keinginan
manusia tetapi itulah ajaran yang sesuai dengan fitrah manusia. Masing-masing
boleh menilai keadaan hiburan pada malam kemuncak tersebut samada ia memberi
manfaat atau mudharat kepada mahasiswa dan masayarakat setempat. Saya sedar, menganjurkan program yang sebesar
itu bukanlah satu perkara mudah kerana ia melibatkan tenaga, masa, dan wang
yang sangat maksima namun sesebuah penganjuran program perlu kepada penilitian
kepada hasil dan manfaat selepasnya.
Semoga Majlis Konvokesyen yang ke-11 Universiti Malaysia
Terengganu pada kali ini menjadi muhasabah kepada semua pihak dari pelajar
sehingga ke peringkat atasan untuk penambahbaikan bersama pada masa akan datang
seiring kehendak kerajaan untuk melahirkan generasi Y yang berminda kelas
pertama dan graduan yang berkualiti untuk menjadi generasi pelapis kepimpinan
negara. InsyaAllah.
NURUL SAKINAH BT MOHD SOFIUDDIN
Timbalan Presiden/Pengerusi ISIS KAI UMT,
Kelab Amatur Intelektual UMT
1 comment:
salam. setahu saya berkenaan dengan konsert tersebut adalah sebagai ganjaran kerana UMT telah memenangi 1m4u. sbb tu dinamakan konsert my unirock yang telah dibuat pada masa yang sama dengan majlis konvo.
Post a Comment