SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR BUAT SEMUA MAHASISWA DIPLOMA UMT

Friday, 14 March 2014

KONSEP ASAS EKONOMI ISLAM


Ekonomi dalam islam adalah berlandaskan syariat islam. Oleh yang demikian banyak nilai-nilai murni dalam agama yang diserapkan dalam konsep asas ekonomi islam ini. berikut adalah asas tersebut :

1. Pemilikan adalah hak Allah
Segala apa yang ada di langit dan bumi adalah milik Allah. Manusia hendaklah berkongsi nikmat ini dengan mewujudkan keseimbangan dan keharmonian dalam masyarakat. Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 17 yang bermaksud :

" Kepunyaaan Allahlah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya."

Islam menggalakkan umatnya agar mensyukuri nikmat kurniaan Allah iaitu dengan menggunakannya ke jalan yang diredai Allah. Antara cara yang boleh digunakan untuk menunjukkan kesyukuran ialah:

· Sentiasa memikirkan kebesaran Allah kerana nikmat yang dikurniakan
· Menggunakan nikmat dengan cara dan jalan yang betul 
· Mengagihkan nikmat yang dikurniakan kepada golongan yang memerlukan
· Tidak kufur dengan nikmat kurniaan Allah

2. Kebebasan individu
Islam tidak melarang umatnya dalam mencari harta kekayaan dunia. Nabi Muhammad swt dalam satu hadisnya yang bermaksud :

Berkerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beribadatlah seperti kamu akan mati esok.

(Pendidikan islam spm , siri pelangi indigo ,cetakan 2001 mukasurat 275)

Daripada hadis di atas jelas menunjukkan kebebasan individu untuk mencari kekayaan dunia. Islam juga membenarkan umatnya menjalankan pelbagai bentuk ekonomi selagi ianya selari dengan apa yang digariskan dalam Al Quran dan al Sunnah.

3. Ketidaksamaan ekonomi dalam batasan semulajadi
Perbezan dalam ekonomi memang wujud secara semulajadi di dunia ini. Islam adalah agama yang adil dan sememangnya tidak membiarkan perbezaan ini menjadi terlalu jauh. Kekayaan yang dimiliki oleh golongan tertentu di kongsi dengan orang lain iaitu dengan mengeluarkan zakat harta bagi yang berharta dan zakat fitrah untuk semua orang islam.


4. Pengagihan kekayaan secara meluas
Islam memgagihkan kekayaan terhadap umatnya secara sekata tanpa menumpukannya kepada sesuatu kelompok masyarakat sahaja. Semua individu mempunyai hak yag sama dalam mendapatkan kekayaan. kekayaan yang diperolehi hendaklah daripada sumber yang halal.


5. Larangan terhadap kegiatan anti-sosial
Semua kegiatan ekonomi dalam islam hendaklah mementingkan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Segala bentuk ekonomi yang mendatangkan keburukan dan bertengtangan dengan ajaran islam adalah ditegah sama sekali. Sebagai contah riba, rasuah, pasaran gelap dan lain-lain lagi yang bertentangan dengan ajaran islam.


KAI UMT-NURTURING YOUR VISION

Monday, 21 October 2013

Konvokesyen UMT: Melakar sejarah mencorak arah


Alhamdulillah, Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana telah selesai sudah Majlis Konvokesyen ke-11 Universiti Malaysia Terengganu. Tahniah diucapkan kepada semua graduan yang berjaya menerima segulung ijazah. Bukan mudah merealisasi impian tersebut. Dalam keadaan bersusah-payah, penat jerih, luka, gembira dan bahagia di sepanjang perjalanan meraih gulungan ijazah tersebut. 


Tahniah kepada mantan pimpinan dan ahli KAI UMT yang telah bergraduasi! Kejayaan anda inspirasi kami.

Insan yang paling bahagia saat ini mestilah ibu dan ayah yang mempunyai latar belakang berbeza dalam menyara anak-anak di menara gading. Namun, adalah lebih membanggakan ibu dan ayah jika anak yang bergraduasi bukan sahaja menyarung jubah graduan tetapi dalam masa yang sama memakai pakaian akhlak yang lebih baik dan lebih cantik dari keadaan sebelumnya. Itulah yang lebih bermakna kepada orang tua untuk merasa penat-lelah mereka tidak sia-sia.

Tahniah diucapkan kepada pihak universiti kerana berjaya menzahirkan majlis keraian kepada graduan. Pesta konvo tiga hari dua malam bukan sahaja meraikan graduan UMT, malah memberi motivasi kepada yang masih menjadi pelajar dalam mengejar gulungan ijazah untuk lebih berusaha merasai pengalaman diraikan sebegitu rupa.

Namun, saya dengan rasa rendah diri dan sebagai muhasabah bersama ingin menzahirkan sedikit kekecewaan kepada penganjuran pesta konvo kali. Perjalan pesta konvo yang meriah dan penuh keraian hasil penat lelah dan usaha para jawatankuasa program diakhiri dengan malam kemuncak yang sangat tidak sesuai dengan suasana sebagai mahasiswa. Saya tidak akan persoalkan jika ia dianjurkan oleh orang luar, diluar universiti. Tapi saya persoalkan kerana ia berlaku di dalam universiti dalam iklim konvokesyen dan suasana mahasiswa.

Ya, anak muda suka kepada hiburan namun hiburan perlu dipilih kerana hiburan berkuasa mencorak minda. Suka untuk saya jelaskan, di dalam Islam sendiri Rasulullah S.A.W tidak pernah melarang untuk ummatnya berhibur kerana fitrah seorang manusia perlu kepada hiburan sebagai warna kepada kehidupan. Rasulullah juga berhibur, namun baginda menetapkan garis panduan kepada pemilihan hiburan. 

Tujuan penganjuran hiburan adalah untuk kebaikan, tidak melampau, tidak bercampur-aduk lelaki dan perempuan sehingga menimbulkan fitnah dan merangsang kemaksiatan, tidak melalaikan, berpakaian sopan dan menutup aurat, tempat dan gaya persembahan yang tidak mengundang maksiat . Ulama’ kontemporari masakini Al-Syeikh Yusuf al-Qardawi menyatakan, antara hiburan yang menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal.273). 

Nyata dan jelaslah  Islam bukan tertutup dan menghalang keinginan manusia tetapi itulah ajaran yang sesuai dengan fitrah manusia. Masing-masing boleh menilai keadaan hiburan pada malam kemuncak tersebut samada ia memberi manfaat atau mudharat kepada mahasiswa dan masayarakat setempat.  Saya sedar, menganjurkan program yang sebesar itu bukanlah satu perkara mudah kerana ia melibatkan tenaga, masa, dan wang yang sangat maksima namun sesebuah penganjuran program perlu kepada penilitian kepada hasil dan manfaat selepasnya.

Semoga Majlis Konvokesyen yang ke-11 Universiti Malaysia Terengganu pada kali ini menjadi muhasabah kepada semua pihak dari pelajar sehingga ke peringkat atasan untuk penambahbaikan bersama pada masa akan datang seiring kehendak kerajaan untuk melahirkan generasi Y yang berminda kelas pertama dan graduan yang berkualiti untuk menjadi generasi pelapis kepimpinan negara. InsyaAllah.


Wallhua’lam


NURUL SAKINAH BT MOHD SOFIUDDIN
Timbalan Presiden/Pengerusi ISIS KAI UMT,
Kelab Amatur Intelektual UMT


KAI UMT-NURTURING YOUR VISION

Sunday, 25 August 2013

Isu Khas Hari Wanita; Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera


Realiti hari ini menyaksikan betapa kaum wanita sering menjadi mangsa keganasan. Fitrah wanita yang peribadinya penuh kelembutan dan kelihatan lemah mungkin menjadi satu kunci bagi kaum ini menjadi perhatian pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menindas mereka. Maka tidak hairanlah disebabkan wujudnya parasit dalam masyarakat yang suka mengambil kesempatan terhadap wanita ini membantutkan usaha pembangunan masyarakat yang lebih sejahtera pada masa akan datang.

Sehubungan dengan Hari Wanita 2013 pada hari ini 25 Ogos 2013, tema "Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera"  telah dipilih. Menurut Menteri Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, tema bagi program kali ini merupakan usaha Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat bagi mengurangkan kadar jenayah terhadap wanita sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW).

“Tema tersebut bukan hanya tertumput kepada soal menangani keganasa, diskriminasi dan penindasan terhadap wanita tetapi turut merangkumi pelbagai aspek hidup seperti ekonomi sosial dan politik kerana dalam setiap aspek ini wujud peranan awnaita yang perlu dihormati,” katanya.

Berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh Women´s Aid Organisation dan Survey Research Malaysia (WAO/SRM) pada tahun 1992, mendapati bahawa sebanyak 39 peratus daripada wanita di negara kita telah menjadi mangsa keganasan. Angka ini meningkat pada tahun 1995 kerana berdasarkan laporan polis sebanyak 1409 kes keganasan terhadap wanita telah dilaporkan. Angka ini terus meningkat kepada 5477 dengan kenaikkan sebanyak 388 peratus, pada tahun 1997 walaupun Akta Keganasan Rumahtangga telah dikuatkuasakan sepenuhnya.

Apakah yang dimaksudkan dengan  keganasan terhadap wanita?

Berdasarkan Deklarasi Mengenai Penghapusan Keganasan terhadap Wanita oleh PBB pada 1993, keganasan terhadap wanita ditakrifkan sebagai sebarang bentuk keganasan berasaskan gender yang mendatangkan kesan atau boleh memberi kesan kerosakan atau penderitaan secara fizikal, seksual atau mental.

Women´s Aid Organisation memberikan tafsiran keganasan terhadap wanita dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang menganiayai wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara, semata-mata kerana wanita tersebut dianggap sebagai tidak mempunyai taraf yang sama dengan lelaki. Keganasan terhadap wanita ini meliputi semua bangsa, agama, pendapatan, kelas dan budaya.

Ia termasuk ancaman seperti tindakan, paksaan atau perlucutan kebebasan dengan sewenang-wenangnya, sama ada berlaku dalam kalangan khalayak atau dalam kehidupan persendirian seseorang. Keganasan yang dimaksudkan itu juga merangkumi seksual dan psikologi, termasuk memukul atau melakukan kekerasan dan penderaan seks yang dilakukan terhadap kanak-kanak. Bukan setakat itu saja, ia juga membabitkan keganasan bukan dilakukan oleh pasangan suami isteri, eksploitasi, ancaman di tempat kerja dan di institusi pendidikan.

Berikut ialah bentuk penderaan terhadap wanita:
1. Penderaan Psikologi dan Emosi - Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita yang meninggalkan kesan buruk sama seperti kecederaan fizikal kerana membahayakan nilai harga diri dan perasaan wanita dan keupayaan beliau untuk mengawal kehidupan sendiri.

2. Penderaan Fizikal - Memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang dan menggunakan senjata adalah antara contoh jelas penderaan seumpama ini. Menghalang untuk mendapat keperluan asas seperti makan, minum, tidur dan juga tempat perlindungan adalah termasuk dalam bentuk penderaan fizikal.

3. Penderaan Seksual – Memaksa melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut atau menyakiti wanita ketika melakukan hubungan juga dikategorikan sebagai penderaan seksual.

4. Penderaan Sosial – Penderaan bentuk ini sering berlaku di dalam rumah di mana wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan daripada mendapat sokongan luar.

5. Penderaan Kewangan – Seseorang wanita yang dihalang daripada mencari pekerjaan dan tidak dibenarkan membuka akuan bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri. Malah tidak dibenarkan mengawal wang mereka dan wang yang diperolehi akan dikawal oleh orang lain serta terpaksa bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan keperluan asas.

Kesimpulannya, semua pihak memandang serius isu ini dengan mengambil pelbagai langkah sebagai usaha mencegah dan mengatasi masalah ini termasuklah penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan program-program kesedaran serta pengukuhan institusi kekeluargaan itu sendiri.

Ianya bertujuan meningkatkan kesedaran kaum wanita terhadap hak dan kepentingan diri sendiri, seterusnya menguasai pengetahuan yang membolehkan wanita mengatasi rintangan, melindungi diri serta mengembangkan skop kehidupan mereka.Hal ini secara tidak langsung dapat menggerakkan semua ahli masyarakat terutama wanita agar turut menyumbang tenaga serta idea kepada usaha untuk membanterasnya.

Bahagian Bimbingan dan Kaunseling diwujudkan bertujuan untuk membantu wanita yang menghadapi pelbagai masalah termasuk menentang sebarang bentuk keganasan.
Segala aduan mangsa keganasan akan disalurkan kepada jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Biro Bantuan Guaman dan Polis Diraja Malaysia untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Justeru, apakah yang boleh kita lakukan?

Kita perlu mempuyai ilmu dan pengetahuan yang luas mengenai keganasan terhadap wanita melalui bacaan atau menyertai kumpulan tertentu yang memperjuangkan nasib wanita.Kita juga perlu menyokong kempen kerajaan untuk menggubal undang-undang yang efektif bagi mengatasi keganasan terhadap wanita.Seterusnya ialah memberi khidmat dan bantuan sebagai sukarelawan dengan menyumbang tenaga dan masa anda di pusat krisis.

Bagi kaum lelaki pula perlu mengawasi tingkah laku serta memupuk rasa hormat terhadap wanita.Mulakan dengan wanita di sekeliling kamu - ibu anda, adik, kakak, kawan atau rakan sekerja.Jangan membuat jenaka yang menjatuhkan maruah wanita terutamanya terhadap mangsa rogol.  Kita juga sewajarnya perlu menanam nilai kemanusiaan tanpa keganasan dalam kehidupan seperti sikap pemurah, penyabar, toleransi dan prihatin dan ia tidak bergantung pada "gender". Selain itu, lelaki dan wanita harus belajar menghormati antara satu sama lain dan tidak memainkan peranan dominan dan taat yang membuta tuli.


Terakhirnya, mana-mana kaum baik lelaki mahupun wanita, perlulah mengisi jiwa masing-masing dengan hubungan kerohanian yang kuat dengan Tuhan supaya diri sentiasa terjaga daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dan ditegah agama. Hormati dan hargailah wanita disekeliling anda. Moga dapat dihentikan segera segala bentuk keganasan terhadap wanita dan kanak kanak sebagaimana yang sedang berlaku di Mesir , Syiria,Srilangka, plastine,Tunisia , Lybia dan termasuk dalam negara kita.

" Tangan yang menghayun buaian juga boleh menggoncang dunia. "

:: SELAMAT HARI WANITA 2013 ::

Ikhlas,
ZAIIMAH BT ROZMAN,
Naib Presiden 2/Timbalan Pengerusi ISIS,
Kelab Amatur Intelektual UMT.





KAI UMT-NURTURING YOUR VISION

Wednesday, 7 August 2013

Perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 1434 H

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Allahu Akbar.
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang mengizinkan kita untuk terus bernafas sehingga ke hari ini dan diberikan peluang untuk menyambut Hari Raya Idul Fitri 1434H.
Setelah kita menjalani tarbiyah Ramadhan selama sebulan dengan ibadat seperti puasa, qiam, bacaan al-Quran dan sebagainy

a, kita diperintahkan untuk menyambut Hari Raya sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan menewaskan hawa nafsu. Semoga Ramadhan yang akan berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmah puasa itu sendiri.
Taqwa ertinya pelindung. Apa yang dimaksudkan dengan pelindung ialah pelindung daripada api Neraka. Justeru, apabila masyarakat yang bertaqwa berjaya diwujudkan hasil daripada tarbiyah di bulan Ramadhan, InsyaAllah tidak akan berlaku kes-kes tembak menembak sejak akhir-akhir ini dan  sebagainya. Ini kerana punca kepada semua jenayah ini ialah kerana manusia tidak bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wataala.
Hari ini 7 Ogos 2013 M, bersamaan 29 Ramadhan 1434 H menandakan Ramadhan akan meninggalkan kita tidak lama lagi dan Syawal pula akan menjelang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Bagi orang yang berpuasa mereka mendapat dua kegembiraan. Satu kegembiraan pada hari menyambut hari raya dan satu kegembiraan pada hari mereka bertemu dengan Tuhan mereka.”
Kegembiraan apakah yang dimaksudkan pada hari menyambut hari raya tersebut? Tidak ada berita yang paling  mengembirakan bagi seorang mukmin melainkan keampunan dan keredhaan  Allah. Sesungguhnya Rasulullah pernah meng’amin’kan doa Jibril seperti mana hadith baginda S.A.W yang  bermaksud,
Rasulullah Saw  menaiki mimbar (untuk berkhutbah). Menginjak anak tangga pertama beliau mengucapkan, “ Aamin ” , begitu pula pada anak tangga kedua dan ketiga. Seusai shalat para sahabat bertanya, “ Mengapa Rasulullah mengucapkan “ Aamin ”? Beliau lalu menjawab, “ Malaikat Jibril  datang dan berkata, “ Kecewa dan rugilah seorang  yang apabila nama mu disebut dan dia tidak mengucap selawat atas mu ” lalu aku berucap  “ Aamin. ”  Kemudian malaikat berkata lagi, “ Kecewa dan rugilah   orang  yang  berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak dapat masuk syurga. ” Lalu aku mengucapkan“ aamin ” . Kemudian katanya lagi, “ Kecewa dan merugi orang yang  berkesempatan (hidup) pada bulan Ramadhan tetapi tidak terampuni dosa-dosanya. ” Lalu aku mengucapkan “ Aamin. ” (HR. Ahmad)

Sama-samalah kita berdoa dengan penuh harapan akan kurniaan Keampunan dan Keredhaan daripadaNya.  Aamin.

Teman-teman seperjuangan sekalian,
Ramadhan adalah ’dewan perperiksaan’ kehambaan kita kepada  Allah manakala bulan-bulan yang lain adalah bulan ‘tutorial’ dan   ‘assignment’ di mana masa untuk memperbaiki amalan kita untuk menghadapi keputusannya yang bakal kita terima pada Yaum Ad-Din (hari Pembalasan) kelak.  Sama-samalah kita memohon daripadaNya agar dikurniakan Istiqomah dalam kehambaan kita kepadaNya sepertimana pada Ramadhan kali ini dan berterusan sehingga Ramadhan yang akan datang. Tidak hanya terhenti pada 1 Syawal ini.

Saya khuatir amalan kita pada Ramadhan ini tidak mendapat apa-apa balasan kerana  ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja. Bagaimanakah kita hendak menjawab sekiranya kita ditanya di hari perhitungan nanti  “Kenapakah amalan sekian-sekian kamu ini hanya ada pada bulan Ramadhan? Ibadah mu itu kerana  Aku kah atau kerana bulan Ramadhan? Adakah Aku tidak ada pada bulan-bualan lainnya?” dan kalimah yang paling saya risaukan adalah.“Pergilah kamu kepada Ramadhan yang kamu sembah itu dan mintalah balasan darinya. Disini tiada lagi balasan untuk kamu.”Naud’zubillah..
Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik-tolak kepada keyakinan kita bahawa al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. adalah panduan kita yang hakiki dalam semua segi kehidupan kita.
Marilah juga kita meraikan hari yang penuh kegembiraan dengan landasan al-Quran dan Sunnah. Sama-samalah kita mengeratkan silaturrahim dengan penuh kasih sayang dan ikatan ukhwah yang kuat sesame kita.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eid Mubarak kepada seluruh warga Universiti Malaysia Terengganu, ayah bonda, guru-guru, rakan-rakan, mohon maaf atas segala kesilapan, kekurangan, keterlanjuran, kelemahan dan sebagainya dari permulaan perkenalan sehingga sekarang dan hari-hari yang akan datang yang terbit daripada diri ini.
Selamat Hari Raya Eid Fitri Maaf Zahir dan Batin, Selamat Dunia Akhirat.
Allahuakbar, Allahukabar, Allahuakbar.

Ikhlas,
Muhammad Afiq Syazwan Bin Ismail
Presiden Kelab Amatur Intelektual (KAI)
Universiti Malaysia Terengganu.


KAI UMT-NURTURING YOUR VISION

Tuesday, 9 July 2013

Ahlan Wasahlan Ramadhan Kareem

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa” 
(Al-Baqarah: 183) 


Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. 

Dia yang dirindui sejak setahun lalu kini tiba lagi. Pertamanya rafakkanlah rasa syukur pada Allah A’zawajalla atas keizinanNya, kita bertemu Ramadhan sekali lagi. Bayangkan wajah sahabat atau saudara kita yang menyambut ramadhan bersama kita pada tahun lepas telah pergi meninggalkan kita dan adakah dia menyangka, itu adalah ramadhan terakhir buatnya? 

Saya menyeru pada diri saya dan kepada anda yang membaca, lemparkanlah soalan pada diri sendiri, apakah perasaan kita saat ramadhan ini tiba. Adakah kita gembira? Biasa-biasa sahaja? Atau mungkinkah timbulnya perasaan sedih kerana ada antara tabiat kita yang terpaksa berkubur dalam masa sebulan? Wa nauzubillahiminzaalik. Perasaan kita ketika menyambut tetamu Allah ini sudah mampu menggambarkan tahap iman kita. Dijanjikan oleh Allah pada bulan puasa ini pahala yang berlipat kali ganda dari biasa dan Ramadhan ini sebenarnya adalah hadiah istimewa dari Allah kepada hambaNya untuk merebut peluang berusaha dengan bersungguh-sunguh mencapai ijazah taqwa pada 1 syawal nanti. Namun saya percaya masih ada segelintir umat Islam yang tidak selesa dengan kehadiran Ramadhan kerana merasakan bulan mulia ini penjara bagi mereka. Astaghfirullahala’zim.. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan yang ditutup pintu hati mereka ini. 

Imam Al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tingkat: 

Puasa Umum : Puasa kebanyakan umat Islam yang sekadar mampu menghindarkan perut daripada makan, minum dan menahan keinginan berjimak. 

Puasa Istimewa (Puasa Khusus) : Puasa yang dapat memelihara mata, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara-perkara di atas.  

Puasa paling Istimewa (Puasa Khusus Al-Khusus) : Merangkumi puasa umum dan puasa istimewa. Disempurnakan pula dengan puasa hati daripada semua keinginan zahir dan batin. 

Inilah puasa tertinggi kedudukannya di sisi Allah SWT dan merupakan amalan puasa para rasul, nabi, para sahabat, para wali dan golongan ahli ibadah lain. 

Maka ingatlah muslimin dan muslimat yang dimuliakan Allah sekalian, letakkanlah azam kita pada ramadhan kali ini agar puasa kita tidak hanya mendapat lapar dan penat semata-mata. Pasakkanlah di fikiran, di saat kita sibuk membeli pelbagai juadah berbuka mengikut kepuasan jiwa, ada antara saudara kita yang hanya makan ala kadar sahaja, ada saudara kita di Mesir, di Syria, di Palestin dan Gaza yang cabarannya lebih hebat dari rasa lapar semata-mata. Maka beringatlah dan teruslah memberi peringatan agar ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik untuk kita kerana mungkin inilah kali terakhir kita berjumpanya. Dan kelebihan sauda-saudara kita di sana di saat Allah menguji mereka dengan ujian yang maha dahsyat, mereka bakal menghayati dan menghargai Ramadhan lebih daripada kita. Bermula dengan awal Ramadhan yang mulia ini, di hari pertama dalam fasa yang pertama, pasakkanlah dalam diri bahawa kita akan meraih ijazah taqwa yang sebenarnya agar kita bergraduasi pada 1 syawal dengan diri dan hati suci dan bersih dari dosa dan cela seperti baru dilahirkan. Hias dan dekorasilah Ramadhan kita agar menjadi bualan dan pujian penghuni langit sana. 

 ~AHLAN WASAHLAN RAMADHAN KAREEM~ 
 Wallahua’lam

Nurul Sakinah Mohd Sofiuddin
Timbalan Presiden 
Kelab Amatur Intelektual
Universiti Malaysia Terengganu


KAI UMT-NURTURING YOUR VISION